Sabda
Nabi S.A.W maksudnya : "Seorang mukmin adalah orang yang mulia lagi
pemurah dan orang fasik adalah penipu dan tercela." (Hadis Riwayat
Tirmizi). Sabda baginda lagi maksudnya : "Tidak pernah terkumpul sifat
bakhil dan iman di hati seorang hamba." (Hadis Sahih Riwayat Nasa'i)
Sifat pemurah adalah sifat mahmudah yang
sangat dituntut oleh Islam. Pepatah ada mengatakan " Tangan yang di atas
lebih baik daripada tangan di bawah". Kata-kata ini begitu sinonim dengan
sifat dermawan seseorang itu. Sifat pemurah ialah sifat yang berada di
tengah-tengah antara bakhil dan boros.
Sabda
Rasulullah S.A.W. bermaksud: "Orang yang pemurah itu dekat dengan Allah,
dekat dengan manusia dan jauh daripada api neraka. Orang yang kedekut itu jauh
daripada Allah, jauh daripada manusia dan dekat dengan neraka. Sesungguhnya
orang yang bodoh tetapi pemurah itu lebih disayangi Allah daripada seorang abid
yang bakhil." (Hadis Riwayat Tirmizi)
Rasulullah
S.A.W. merupakan antara lelaki yang kaya kerana 1/5 daripada harta rampasan
perang(ghanimah) adalah milik Baginda. Namun baginda tidak meninggalkan apa-apa
harta selepas kewafatan baginda. Baginda merupakan seorang pemimpin yang
pemurah mengamalkan budaya hidup setara rakyat jelata. Diriwayatkan bahawa
bagida membahagikan harta rampasan perang miliknya dalam masa tidak sampai satu
jam kepada sahabat-sahabat yang memerlukannya.
Sukakan
harta (hubbul Mal) merupakan fitrah semulajadi manusia, sebagai alat bagi
mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Namun untuk mencapai kebahagiaan itu
ialah dengan banyak memberi sumbangan, sedekah dan untuk kerja-kerja dakwah dan
tarbiah dan bukan membelanjakan harta untuk diri sendiri dan keluarga
semata-mata. Harta yang dibelanjakan di jalan Allah S.W.T. adalah seolah-olah
kita berniaga dengan Allah S.W.T. dan sesungguhnya tidak akan rugi sesiapa yang
menjalankan perniagaan dengan Allah S.W.T.
Selain
itu, Islam sangat menganjurkan kepada penganut-penganutnya menjadi pemurah.
Bukan sekadar sanggup mengorbankan yang wajib sahaja. Mereka digalakkan
bersedekah, menderma, memberi hadiah, mewakafkan harta seperti tanah, bangunan,
kebun, bahan-bahan bacaan, kenderaan dan lain-lain lagi agar cepat masyarakat
Islam terbangun.
Hasilnya
kelak, yang sedang maju akan bertambah maju. Yang kurang maju akan jadi maju.
Yang kurang, dapat dicukupkan. Yang koyak dapat ditampal. Yang lemah dapat
dikuatkan. Yang tidak sempurna dapat disempurnakan. Yang tidak sudah, dapat
disudahkan. Yang tidak mampu, dapat hidup bersama-sama dengan orang yang mampu.
Agar yang sedih menjadi ceria semula. Yang terbiar dapat dibela. Juga agar
fakir miskin tidak sengsara, anak-anak yatim terbela dan janda-janda dapat
dijaga.
Sifat-sifat pemurah terutama daripada
orang-orang kaya dan berada akan menyebabkan masyarakat Islam terbela.
Masyarakat Islam akan cepat maju dan kasih sayang akan terjalin. Hubungan
antara orang kaya dan miskin semakin rapat. Tidak ada orang yang terbiar. Akan
wujud perpaduan dan kerjasama. Tiada lagi jurang. Sudah tentu kadar jenayah
juga akan berkurangan. Maka semua orang akan hidup dalam aman bahagia, murni
dan harmoni. Itulah kesan daripada sifat pemurah dan tawaduknya orang-orang
kaya. Banyak masalah masyarakat dapat diselesaikan.
Sebab
itulah sifat pemurah sangat dikasihi oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Bahkan
dikasihi juga oleh semua orang. Firman Allah SWT maksudnya :
"Belanjakanlah (hartamu) pada jalan Allah dan janganlah kamu jatuhkan
dirimu ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah. Sesungguhnya Allah mengasihi
orang-orang yang berbuat baik." (Surah al-Baqarah ayat 195)
Sahabat
yang dikasihi, Ingatlah! Dengan sifat pemurah kalian tidak akan menjadikan
papa. Bersedekahlah selalu kerana setiap amalan tidak akan menjadi sia-sia. Dan
jadikanlah pemurah itu budaya hidupmu, kalian akan dekat dengan Tuhan, dekat
dengan manusia, dekat dengan syurga dan jauh dengan neraka. Sifat bakhli, jauh
dengan Tuhan, jauh dengan manusia, jauh dengan syurga dekat dengan neraka.
Sifat pemurah itu menghilangkan hangat kubur, penaung di Padang Mahsyar dan
penutup aurat di akhirat.
Orang
pemurah selalunya di hujung umurnya dapat hidayah sebaliknya orang bakhil
walaupun ahli ibadah, selalunya su'ul khatimah (kematian yang buruk).
Pemurahlah, ia akan menambah rezeki, menambah harta, memajukan negara,
pembersih jiwa, membuang ego, dan di sukai dan dikasihi Allah S.W.T. Bila sifat
pemurah sudah hilang di dalam kehidupan datanglah kemurkaan Allah. Akibatnya,
akan ditimpa bermacam mala petaka dan akan menjadi papa kedana, saudagar akan
muflis kerana rugi dalam perniagaan, orang kaya kehilangan hartanya tidak tahu
puncanya. Pemerintah dan pentadbir pening kepala kerana tidaka ada keberkataan,
bala datang silih berganti, rakyat akan menderita dan kesetabilan dalam
masyarakat tidak wujud. Oleh itu jauhilah dosa dan hidupkan semula sifat
pemurah hingga ianya menjadi budaya dan pembahagiaan harta kekayaan di dalam
masyarakat akan berlaku.
No comments:
Post a Comment