Sunday, 28 May 2017

DEFINISI PENGAMATAN



Pengamatan ialah hasil tindak balas keseluruhan sistem deria setelah menerima rangsangan daripada sumber lain. Pengamatan ini berkaitan dengan keupayaan pancaindera untuk menerima rangsangan, kemudian mengutuskannya melalui system saraf ke otak untuk diproses. Otak akan melakukan proses mentafsir, menyimpan atau menyatakan rangsangan itu sebagai gerak balas melalui pertuturan ataupun perlakuan fizikal, atau kedua-duanya sekali. Proses ini sangat kompleks kerana ketepatan tafsiran yang dibayangkan oleh perlakuan atau pernyataan pertuturan bergantung kepada keadaan normal pancaindera, system saraf dan otak. Keupayaan ini pula bergantung pada pengalaman, emosi, situasi dan akidah atau keimanan seseorang.
            Sekiranya gerak balas fizikal atau pernyataan pertuturan difahami oleh orang lain, maka pemahaman dan pembelajaran itu dikatakan berlaku. Oleh itu, kepekaan berlaku sekiranya rangsangan-rangsangan diterima oleh deria dan kemudian diutuskan ke otak untuk diproses sehingga mencetuskan makna, pemahaman atau pengetahuan yang diterima oleh perangsang dan masyarakat sekitarnya. Peringkat antara kepekaan dan pengetahuan inilah dikenali sebagai pengamatan.
            Teori yang dijelaskan menunjukkan bahawa jika rangsangan diamati dengan sempurna, ia akan menjadi pengetahuan atau pelajaran. Peringkat pembentukan pengamatan menentukan kualiti pembelajaran. Di samping itu, perlu diingatkan bahawa bukan semua deria peka kepada rangsangan. Walaubagaimanapun deria lebih peka kepada ciri-ciri seperti perubahan, pergerakan, saiz, ulangan, kekuatan, set, dan juga kontra.
            Ciri-ciri yang disebutkan diatas hendaklah dijadikan panduan semasa menyediakan alatan pembelajaran. Jika boleh setiap alat yang digunakan hendaklah mengandungi satu atau lebih dari segi ciri-ciri perubahan, pergerakan, saiz, ulangan, kekuatan, set dan kontra.
            Sesuatu yang diamati atau sesuatu pengamatan akan diproses melalui pancaidera, saluran saraf dan seterusnya diproses di dalam otak. Dengan ini sudah semestilah kecenderungan atau kekuatan bahagian-bahagian yang dilalui tadi akan mempengaruhi pengamatan seseorang. Oleh sebab itu, jika terdapat kecacatan pada salah satu bahagian tersebut, ini boleh menimbulkan salah pengamatan.

No comments:

Post a Comment