KONSEP
PENGAMATAN
Manusia mempunyai lima deria, iaitu mata, telinga, hidung, lidah dan kulit
untuk melihat, mendengar, menghidu, merasa dan menyentuh. Melalui organ-organ
deria itu, kita dapat mengesan keadaan di sekeliling. Misalnya, mata
membolehkan kita melihat bentuk, jarak dan warna objek; telinga membolehkan
kita mendengar pelbagai jenis bunyi; hidung membolehkan kita mencium bau wangi
dan busuk; lidah membolehkan kita merasa rasa manis, masin dan pahit; dan kulit
membolehkan kita membezakan permukaan kasar atau halus, serta mengesan
kesejukan dan kepanasan udara.
Proses-proses itu berlaku disebabkan oleh rangsangan yang dikesan oleh
organ-organ deria. Umpamanya dalam proses melihat, cahaya dari objek itu terbentuk
di retina. Ini menghasilkan impuls yang dihantar ke otak melalui saraf optik.
Otak mentafsir impuls itu dan menginterpretasikannya mengikut sifat-sifat objek
itu, misalnya dari segi bentuk dan warna. Objek itu dikira telahpun dilihat”.
Contoh ini memperlihatkan pertalian di antara fungsi mata dengan mental (otak)
yang memproses maklumat. Begitu juga organ-organ deria lain berfungsi untuk
mengesan keadaan di alam sekitar, walaupun rangsangannya berbeza-beza, iaitu
kulit mengesan rangsangan dengan sentuhan, hidung dan lidah mengesan bahan
kimia dan telinga mengesan gelombang bunyi. Semua utusan yang diterima daripada
rangsangan itu dihantar ke otak melalui sistem saraf sebagai impuls untuk
ditafsirkan dan diinterpretasikan.
Proses mental yang membuat pemerhatian melalui organ-organ deria untuk mengecam
objek dan perkara, serta memberi kesedaran tentang kualiti dan pertalian objek
dan perkara, disebut pengamatan. Ini bermaksud pengamatan ialah satu proses
kognitif yang mentafsir pengalaman. Pengalaman itu diperoleh melalui
organ-organ deria dan dihantar melalui sistem saraf ke otakuntuk ditafsirkan.
Akan tetapi, dalam proses pentafsiran itu, pengalaman yang sedang dialami itu
diproses dengan menghubungkaitkannya dengan pengalaman lampau. Oleh itu pengalaman
lampau mungkin mempengaruhi pentafsiran pengalaman baru.
Justeru itu,
pengamatan melibatkan tindakan membezakan dan memilih gerak balas. Dengan
demikian, pengamatan menyedarkan pertalian serta perbezaan kualiti dan kuantiti
rangsangan. Bahkan kemampuan seseorang membuat pengamatan untuk menimba
maklumat daripada persekitaran akan meningkat dengan bertambahnya pengalaman
dan latihan. Daripada huraian di atas, pengamatan dapat ditakrifkan sebagai
proses mental dalam mentafsir segala objek dan situasi, termasuk kualiti dan
pertalian asalnya yang dikesan melalui organ-organ deria seseorang, tetapi
pentafsiran itu dipengaruhi oleh pengalaman lampaunya.
No comments:
Post a Comment