Friday, 21 July 2017

Signifikan kawalan sosial jenayah

SIGNIFIKAN KAWALAN SOSIAL JENAYAH


Kawalan sosial adalah aspek dalam masyarakat yang melindungi aturan moral. Kawalan sosial bermaksud percubaan masyarakat untuk meregulasi fikiran dan kelakuan ahli masyarakat. Roucek mengatakan bahawa kawalan ialah;


“ A collective term for those process, planned or unplanned, by which individual are thougt, persuaded, or compelled to conform to the usages and life-values of groups”
(Roucek, 1956:3)


Selain itu, kawalan sosial merujuk kepada;” Semua proses yang menyebabkan individu akur pada norma masyarakat termasuk undang-undang jenayah, pihak polis, mahkamah dan institusi tahanan”
(Rokiah Ismail, 2002: 89).

Kawalan sosial bersifat fungsional. Matlamat utama kawalan sosial ialah untuk menentukan kedudukan seseorang dalam kumpulannya melalui nilai dan folkways. Kawalan sosial mempunyai pelbagai fungsi seperti menghukum, mendisiplin, menangkis, membalas, memdidik, memulihkan dan mensosialisasikan.

 Terdapat dua jenis kawalan sosial iaitu kawalan sosial formal dan kawalan sosial tidak formal. Kawalan sosial formal melibatkan sistem tatacara dan sistem autoriti seperti peraturan, undang-undang dan peranan agen-agen seperti polis, mahkamah, pusat tahanan atau pusat kebajikan masyarakat (Rokiah Ismail, 2002: 90).

Kawalan sosial formal adalah dalam bentuk undang-undang yang telah diaktakan oleh pihak berkuasa. Ia bersifat rasmi dan perlu dipatuhi oleh penduduk di wilayah tersebut. Sistem keadilan jenayah adalah satu sistem kawalan sosial rasmi. Agen-agen kawalan sosial sistem keadilan jenayah bertindak balas terhadap pelanggaran undang-undang jenayah sahaja.

Antara komponen sistem keadilan jenayah ialah polis, mahkamah dan hukuman yang dikenakan terhadap pesalah (Fuller J.R, 1998). Setiap komponen dalam sistem keadilan jenayah mempunyai bidang kuasa tersendiri dan kuasa tersebut hanya sah dalam bidang-bidang yang diperuntukkan sahaja.

Polis merupakan agen kawalan sosial rasmi yang utama dalam masyarakat. Polis adalah penghubung antara masyarakat dan sistem keadilan jenayah. Di Malaysia, Kanun Acara Jenayah telah menggariskan tugas dan tanggungjawab pegawai polis iaitu setiap anggota polis hendaklah menahan berlakunya sebarang kesalahan yang lazim ditangkap, menyampaikan maklumat jenayah kepada ketua dan mana-mana pegawai yang tugasnya mencegah dan menjalankan tindakan kesalahan itu dan mencegah seseorang daripada merosakkan harta orang ramai (Mohd Reduan Aslie, 1990:309).

Agen kawalan yang seterusnya ialah mahkamah. Mahkamah merupakan tempat yang adanya kuasa dalam sistem keadilan jenayah. Selepas tangkapan oleh pihak polis dibuat, pesalah akan dihadapkan ke mahkamah untuk menentukan sama ada suspek bersalah atau tidak bersalah. Mahkamah menentukan bentuk hukuman yang akan dijatuhkan kepada pesalah dan membuat keputusan tentang bagaimana agensi keadilan jenayah lain mengurus bidang mereka. Mahkamah diwujudkan untuk meminimumkan konflik manusia.

Dalam masyarakat yang demokratik di mana ahlinya masing-masing secara bebas mengejar matlamat, mahkamah berfungsi sebagai forum pengantara di mana perbezaan dan ketidakpuasan hati disuarakan. Mahkamah juga berfungsi sebagai penegak keadilan. Tanpa mahkamah, manusia akan bertindak dan menghakimi orang lain dengan bebas.

Hal ini akan menyebabkan huru hara dalam sitem sosial manusia kerana manuasia bertindak sesuka hati. Oleh itu, mahkamah menyediakan perkhidmatan penting kepada komuniti dengan menginstitusikan konflik tersebut melaui satu prosedur dan forum yang dipersetujui bersama (Fuller J.R, 1998).

Setelah melalui prosedur di mahkamah, pesalah akan dijatuhkan hukuman. Terdapat empat jenis bentuk hukuman iaitu balasan (retribution), pencegahan (deterrence), pemulihan (rehabilition) dan mengawal (societal protection) (Lillyquist M.J, 1980).

Hukuman berbentuk balasan merupakan satu perbuatan balas dendam moral oleh masyarakat kepada pelaku akibat perbuatan yang telah dilakukannya. Pendekatan ini melihat masyarakat sebagai keseimbangan moral. Apabila keseimbangan ini terjejas akibat perbuatan jenayah, hukuman hendaklah dijalankan mengikut ukuran keteraturan moral. Di dalam hal ini, mangsa atau pihak mangsa jenayah boleh menuntut ganti atau pembalasan akibat perbuatan yang dilakukan oleh pesalah terhadap pihak mangsa.

Pencegahan atau deterrence adalah percubaan untuk mengurangkan penjenayahan melalui hukuman. Ini adalah respon daripada hukuman balasan yang berdasarkan idea Enlignment iaitu manusia adalah mahkluk rasional dan tidak akan melanggar undang-undang jika terlebih dahulu berfikir tentang akibat yang akan diterima jika melakukan jenayah. Hal ini menyebabkan seseorang individu itu dapat dicegah daripada melakukan jenayah.

Terdapat dua jenis pencegahan iaitu pencegahan individu dan penjegahan umum. Pencegahan individu ialah apabila seseorang itu melakukan jenayah dan ditangkap, individu tersebut insaf daripada melakukan perbuatan jenayah lagi kerana individu tersebut tahu akibat yang akan menimpanya jika dia melakukan kesalahan tersebut.

Pencegahan umum pula ialah masyarakat mendapat iktibar dan pengajaran daripada orang lain yang dihukum setelah melanggar undang-undang (Lillyquist M.J, 1980; Fuller J.R, 1998). Pencegahan umum dilihat pencegahan yang penting kerana ia signifikan untuk memastikan undang-undang berfungsi secara optimum.

Bentuk pemulihan ialah satu program yang membentuk kelakuan seorang pelaku daripada melakukan kesalahan berulang. Secara logiknya, jika pelaku boleh belajar untuk menjadi seorang devian, dia juga boleh belajar untuk mematuhi peraturan dan kunci utamanya adalah dengan mengawal persekitaran.

Dalam bentuk ini, pesalah disosialisasikan semula supaya diterima oleh masyarakat. Contohnya modifikasi kelakuan untuk golongan pesalah juvana (Siegal L.J, 2002). Jenayah dilihat sebagai masalah sosial atau masalah peribadi pelaku. Oleh itu, keadaan sosial diperbaiki dan rawatan diberikan kepada pelaku.

Langkah kawalan pula adalah pendekatan rasional untuk menghukum dan juga melindungi masyarakat daripada jenayah. Pesalah-pesalah biasanya diletakkan di penjara bagi mengawal keselamatan masyarakat dalam satu jangka masa yang ditetapkan. Ini membolehkan perbuatan jenayah pesalah akan terhenti serta -merta. Hukuman ini dalam kebanyakan kes adalah efektif.


No comments:

Post a Comment